Monday, 10 October 2011

Sains Di Sekeliling Kita

Assalamualaikum w.b.t & Selamat Pagi

hai kawan-kawan..dah sedia untuk belajar? 
okay mari kita mulakan pelajaran hari ini dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim!



Kawan-kawan tahu apa itu sains? 

Menurut Isaac Asimov, sains adalah cara kita berfikir dan melihat dunia persekitaran kita. Sains ialah suatu proses eksperimen yang berterusan dan mencuba jawapan terhadap  kejadian dan tindak balas yang berlaku dalam persekitaran.

Hasil keputusan sesuatu eksperimen pula sentiasa berubah dan tidak hanya tertumpu kepada satu jawapan sahaja. Ini secara tidak langsung dapat melatih serta memberikan pengalaman baru kepada kanak-kanak untuk meneroka dan berfikir dengan lebih jauh dalam mencari pelbagai cara bagi mendapatkan jawapan sebenar kepada setiap persoalan mereka.

Bagi kanak-kanak, sains adalah sesuatu perkara yang dapat membuatkan mereka berasa hairan, takjub, keinginan untuk mengetahui serta menerokai sesuatu perkara yang tinggi. Sains adalah suatu proses yang melibatkan tindakan seperti memerhati, berfikir dan membuat perkaitan antara satu tindakan serta kesannya.

Dalam pendidikan awal kanak-kanak, proses sains adalah suatu pembelajaran yang dapat menggalakkan kanak-kanak memperoleh pengetahuan fakta sains, merangsang minat ingin tahu, meramal, menerokai persekitaran mereka, dan menjalankan eksperimen-eksperimen mudah melalui kaedah cuba-cuba yang secara tidak langsung akan melibatkan mereka dalam proses berfikir di luar kotak yang kreatif selain mendapat maklumat yang lebih saintifik bersesuaian dengan umur, tahap perkembangan serta kemampuan kanak-kanak itu sendiri.


Pengenalan sains juga dapat membantu kanak-kanak mengenali dan memahami persekitarannya. Mereka secara semulajadi mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Oleh itu, mereka perlu diberi peluang, masa dan galakan bagi memenuhi keperluan mindanya. Setiap apa yang mereka sentuh atau lihat akan menimbulkan beberapa persoalan di minda mereka seperti "apa ini? kenapa ia berbunyi begini? bagaimana ia bergerak? 







Pada peringkat awal pengajaran sains, guru boleh menyediakan peluang pembelajaran sains dengan cara : 

  1. Menyediakan persekitaran yang selamat untuk diterokai
  2. Menggalakkan kanak-kanak memerhati, mencuba-cuba, menanya soalan dan menyelesaikan masalah
  3. Mendapat pembelajaran melalui pengalaman
  4. Mengubahsuai dan membuat perkaitan antara sesuatu dengan sebab musabab
  5. Membuat rumusan saintifik daripada pengalaman
  6. Mengaitkan pengalaman sebenar dengan konsep seperti 'memasak air sehingga cerek berbunyi' dikaitkan dengan konsep 'air mendidih'.





Kenapa sains perlu diajarkan kepada kanak-kanak pada peringkat awal?

  • Pada peringkat umur awal 4-6 tahun, kanak-kanak memiliki keinginan yang tinggi untuk mengetahui setiap perkara yang berlaku di persekitarannya. Mereka juga mudah menyerap apa sahaja yang diajarkan kepada mereka kerana minda kanak-kanak itu yang masih bersih.
  • Kanak-kanak dapat dibantu untuk memahami persekitarannya dan memudahkan mereka untuk membuat perkaitan antara dunia persekitaran dengan dirinya.
  • Memupuk minat kanak-kanak dalam bidang sains dengan memberi mereka peluang juga galakan untuk bermain sambil membuat eksperimen-eksperimen mudah dan menyeronokkan kanak-kanak.
  • Kanak-kanak perlu dipupuk dengan semangat mencintai, menghargai, dan memelihara bumi dan alam sekitar mereka agar bumi ini sentiasa bersih untuk dinikmati oleh generasi selepas mereka. 
  • Dapat memenuhi sifat ingin tahu kanak-kanak serta membantu mereka mengenal dan mensyukuri kebesaran Allah yang dinikmati oleh mereka.
  • Meningkatkan kemahiran sensori, fizikal, emosi, intelektual, kerohanian dan sosial kanak-kanak.
  • Meningkatkan penggunaan bahasa-bahasa sains seperti menyebut perkataan bakteria, atmosfera, cakerawala dan sebagainya lagi.

Sains di sekeliling kita


Kanak-kanak perlu difahamkan bahawa mereka mula mengenali dunia melalui deria yang ada pada mereka. Mereka melihat, merasa, mendengar, menghidu, menyentuh, memegang, mengetuk, menolak dan sebagainya menerusi deria yang ada pada mereka. Tanpa deria yang sempurna, mereka tidak akan dapat melakukan proses sains dengan baik. Oleh itu, mereka akan dilatih secara tidak langsung untuk mensyukuri setiap kelebihan yang diberikan Tuhan kepada diri mereka.


Cuba kita lontarkan sejenak pandangan mata ke segenap alam tempat kita berada ketika ini. Apa yang dapat kita lihat? Apa pula yang dapat kita hidu dan rasa?

Daripada mana datangnya udara yang dapat membantu kita meneruskan nafas di muka bumi ini? Daripada mana datangnya matahari yang menebarkan cahayanya kepada seluruh makhluk di muka bumi? Daripada mana datangnya air yang dapat menghilangkan dahaga yang kita rasai?

Semua itu datangnya dari kebijaksanaan Allah s.w.t yang menciptakan langit dan bumi serta setiap apa yang ada di dalamnya. Manusia yang mencipta kipas, lampu, kereta yang bergerak, kapal terbang yang boleh terbang di udara dan sebagainya, dari mana datang kebijaksanaan mereka itu jika bukan dari Yang Maha Esa? Mereka melihat setiap apa yang Allah cipta di sekitar mereka.

Membuat pemerhatian, menjalankan analisis, bertemu kegagalan demi kegagalan sebelum menemui kejayaan adalah cara para ilmuan, dan juga saintis dalam meraih pengetahuan. Sains yang bergulir di sekitar kita ini adalah ilmu Allah. Sains sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian kita. Manusia hanya perlu menggunakan akal untuk berfikir tentang setiap sesuatu yang berada di bumi dan persekitaran mereka. Sains itu dinikmati oleh kita semua sejak berzaman dahulu tanpa kita sedari. Dan semakin lama teknologi sains semakin berkembang mengikut keperluan manusia dizamannya.





Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t sendiri menyuruh kita untuk berfikir tentang alam ini.

  • Perhatikanlah apa yang terdapat di langit dan di bumi (QS Yunus (10) : 101)

  • Apakah mereka tidak memerhatikan bagaimana unta diciptakan, bagaimana langit ditinggikan, bagaimana gunung ditancapkan, dan bagaimana bumi dihamparkan? (QS Al-Ghasyiyah (88) : 17-20)

  • Apakah mereka tidak memerhatikan bumi? Berapa banyak Kami tumbuhkan di bumi itu aneka ragam tumbuhan yang baik? (QS Al-Syu'ara' (26) : 7)

Berfikir mampu membuatkan kita takjub dengan kebesaran Allah yang tidak mampu kita langkaui. Di mana jika diteliti sains itu ada pada diri kita sendiri. Bagaimana DIA membentuk urat-urat darah kita yang jika dicantumkan boleh meliputi sebuah jalanraya sejauh 96,000 kilometer.

Cuba bayangkan kepada kanak-kanak apa yang akan terjadi kepada mereka sekiranya Allah menarik nikmat lidah walaupun hanya satu hari. Apa yang akan terjadi kepada diri mereka. Sedangkan lidah itu sangat penting dalam membantu manusia untuk bercakap, merasai manis, masam, masin ataupun pahit makanan dan minuman. Betapa hebatnya Allah yang mampu menciptakan pelbagai fungsi kepada sepotong lidah.

Bagaimana sel-sel di badan menghantar maklumat ke otak dengan kadar segera sekiranya kita terpegang sesuatu benda panas dan membuatkan kita memberi tindakan refleks dengan menjauhkan diri dari kepanasan itu. Jika maklumat itu tidak dapat disampaikan ke otak, dan jika otak pula tidak dapat memberi jawapan segera, pasti badan kita sudah melecur akibat dari haba panas tersebut.



Nota kaki : Sains itu sememangnya berada pada setiap apa yang kita lakukan dalam tiap detik kehidupan kita. Kita cuma perlu berfikir dengan lebih dalam untuk memahaminya. Didik kanak-kanak daripada kecil untuk mengenali sains yang dapat  membantu mereka mengagumi kebesaran Allah serta memelihara bumi mereka agar tidak terus tercemar.






Sekian sahaja untuk kali ini. Sehingga bertemu lagi. (".*)

1 comment:

  1. Youtube channel: YouTube Channel - Videoodl.cc
    YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube youtube to mp3 channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube channel: YouTube

    ReplyDelete

b.g